Sunday, February 17, 2013

Dirimu Istimewa


babySetiap orang ada lapangannya yang tersendiri. Jika semua orang di dunia ni sama sahaja, pasti kehidupan terasa hambar, tiada warnanya. Bosan!
Maha AgungNya Allah SWT, diciptakan pelbagai variasi kelebihan buat orang yang berbeza-beza. Saling melengkapi, cukup mencukupi, menampung yang kurang dan menongkat yang pincang.
Ada orang yang pandai berkarya
Ada yang power berkata-kata
Ada yang macam atlas thaqafahnya
Ada yang tough muscle macam Hulk fizikalnya
Tapi..
Kalau semua orang berkarya, siapa yang nak baca karya yang terhasil?
Kalau semua orang power berkata-kata, mesti telinga kita sakit  mendengar debat di setiap penjuru yang ada.
Kalau semua orang macam atlas thiqahnya, apa perlunya perpustakaan? Peluang untuk meraih pahala dengan menyebarkan ilmu pun menghilang lantaran semua orang semakin pandai..
Kalau semua orang tough muscle macam Hulk, ramai pula yang mula tunjuk belang
Kita diciptakan oleh Tuhan. Dia Maha Mengatur, Maha Mentadbir. Setiap apa yang ada di bumi ini adalah di bawah pentadbiran Allah SWT hatta kita juga adalah sebahagian ciptaan-Nya yang melengkapi alam ini. Tidak salah merasa syukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Yang salahnya merasa kehebatan diri melebihi rasa hebatnya pada Allah SWT sedangkan kelebihan itu DIA yang berikan.
Kamu rasa diri lemah, tak berguna?
Rasa lemah dan tidak pandai Matematik? Mungkin kamu pandai sastera.
Tidak cukup power berkata-kata? Mungkin kamu tajam akalnya.
Tidak berani dan gemuruh berdepan ramai orang? Mungkin kamu berbakat ICT.
Lemah ingatan dan tidak kuat hafalan? Mungkin kamu expert memasak.
Marilah kita hargai diri diri sendiri, kita syukuri apa jua yang Allah kurniakan pada kita. Syukur atas segala nikmat samada kecil mahupun besar. Baik atau pun tidak. Senang atau sukar. Mungkin, ada nikmat pada diri sendiri yang kita anggap kecil umpamanya seperti tiada nilai di sisi manusia, namun hakikatnya sangat besar nilainya pada orang lain.
Pada pandangan mereka yang kekurangan,  mereka berkata..
"Alangkah bestnya kalau aku ada apa yang dia ada"
"Alangkah bertuahnya dia dengan kereta mewahnya"
"Beruntungnya dia, dapat melancong setiap tahun ke luar negara"

Kesimpulannya, usah tanamkan rasa lebih pada manusia. Apa jua yang ada pada manusia lain adalah pinjaman semata. Hakikatnya segalanya adalah milik Allah SWT. Jadilah manusia yang sentiasa bersifat perlukan qanaah dan merasa syukur ketika merasa cukup dan lebih dari manusia lainnya. 
Jadilah diri anda sendiri, kerana diri anda adalah yang terbaik!
"Tapi, bagaimana?"
"Ucapkanlah Alhamdulillah..."
Bersyukurlah walau dengan yang sedikit. Pujilah Allah yang Maha Kaya. Hakikatnya kita memang tiada apa-apa, kita bukan siapa-siapa. Pandai, bodoh, glamer, isolated, mulia, hina... semuanya hanyalah 'wayang' di dunia fana ini. Semua orang memainkan wataknya. Semua orang sama asalnya. Hanya dipilih untuk beraksi sebaik mungkin. Anugerah pula diberikan buat mereka yang ikhlas. Mereka yang tetap teguh pada Islam dalam apa-apa jua keadaan. Insan rabbani berfirasat sufi.
Apa lah yang ada pada raut keangkuhan. Berjalan di mandala sebagai makhluk, tidak layak menandingi Sang Khaliq. Kalau sombong, tak kan ada siapa yang suka hatta Allah juga benci kepadanya. Berlagak sempurna pada 'barang' yang bukan miliknya.
Hidup ini adalah anugerah, hadiah oleh-Nya agar kita mengenal erti buat diri. Agar kita menyempurnakan misi tertentu yang disusun oleh Allah di aturan taqdir. Ketentuan setiap kita berbeza. Hadapilah ia sebagaimana yang kamu mahukan, asal tidak menyimpang dari laluan menuju redha Tuhan. Hiduplah dengan kehendakmu hatta 1 trilion tahun sekalipun, tanpa redha Allah..segalanya tidak bernilai sesaat sekalipun. Padang Mahsyar tiada kenal harga susah kerana perkara yang sia-sia. Hanya kala langkah berjalan di keredhaan Tuhan, barulah ia dijunjung penuh penghormatan.
Mari kembali di hening malam, bergalaskan jiwa hamba, hargai segala pemberian-Nya. Nyawa telah diberi percuma, dihiasi lagi dengan Iman dan Islam. Apa lagi yang lebih mahal dari anugerah ini?

Muhasabah Cinta


alt
Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta.  Manusia 
memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.
Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak.
Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga. 
Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu. 
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair. 
Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta. 
.. dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya. 
Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.
Itulah cinta.  Ia fitrah.  Dan ia juga boleh menjadi fitnah. 
Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina.  Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan manusia, dan ia  juga bisa menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.
Sudah lama kita menjalani kehidupan ini, dan sudah banyak kali perkataan 'cinta' kita ungkapkan dan luahkan. 
Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah.  Muhasabah tentang cinta.  Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita?  Di tempat yang sepatutnyakah?  Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?
01.Orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah..." - [Al-Baqarah: 165]
02.Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta Kepada Mahkluq Melebihi Cinta Kepada ALLAH
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [At-Taubah: 24]
Cukuplah dengan dua ayat al-Quran di atas bagi kita mula bermuhasabah. 
Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan perhatian kepada makhluq, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa cinta dan kasih itu di tempat yang sepatutnya. 
Menyedari bahawa meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya, kita mesti membuktikan rasa cinta itu. 
Tidak cukup dengan hanya kalimah "aku cintakan ALLAH" atau "ALLAH adalah segala-galanya buatku" atau seumpama dengannya.  Ia mesti dibuktikan!
ALLAH subhanahu wata'ala telah berfirman di dalam al-Quran tentang pembuktian cinta kepada ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam:
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." "Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - [Ali-Imran: 31]
Justeru, bagi merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita juga mesti meletakkan rasa patuh dan cinta kepada Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba' (ikut) Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam adalah suatu yang dituntut agama.
Muslimin-muslimat sekalian,
Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita.  Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai.  Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hakmilik.  Ya, cinta kepada makhluk pasti mengundang kekecewaan.
Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhluqNYA, nescaya kita tidak akan didatangi kecewa.  Sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa.  Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.
Hadis riwayat Anas radhiAllahu 'anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya karena Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka." - [Shahih Muslim No.60]
Semoga tulisan yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin memperbaiki rasa cinta kepadaNYA.  Mudah-mudahan kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia yang meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang terutama, amin.
Wallahu A'lam.

Cinta Suci Seorang Ibu


alt
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.
Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat. Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam.
Beliau mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka berkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.
Nasihat Khansa kepada anak-anaknya, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insyaAllah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga.
Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. InsyaAllah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian dia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api dia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang. Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang. Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal. Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu.
Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya.
Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega.
Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengaharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada' yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.

Fuhhh... nasib baik sempat!


babySebuah kereta Honda Civic yang dipandu laju oleh lelaki untuk pulang ke kampung halaman bersama isteri dan anak-anaknya yang tersayang bergerak menyusur di atas jalan raya biasa. Kereta dipandu laju di jalan yang lurus dengan sangkaan jalan yang lengang itu adalah selamat walaupun dipandu laju melebihi 100 km/j.
Tiba-tiba sebuah Proton Saga datang dari arah sebelah kanan terus menyusur keluar dari simpang tiga lebih kurang 100 meter di hadapan.. Streetttttttttttt... bunyi kebingitan pedal brek ditekan dengan kuat.
"Fuhhh... nasib baik sempat tekan brek" kata lelaki berkenaan setelah keretanya berhenti betul-betul di sebelah Proton Saga itu.
Walaupun brek mengejut yang ditekan itu berjaya menghentikan pergerakan kereta daripada merempuh kereta yang sebuah lagi, namun mereka masih terkejut dengan kejadian yang tidak disangka akan berlaku itu.
"Itulah abang, pandu laju sangat.. kan saya dah cakap tadi.." keluh si isteri yang berada di sebelah.
"Kereta tu yang salah, keluar simpang tak berhenti dulu.."
Dua orang anak mereka yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa yang sedang berlaku masih terpinga-pinga. Seorang daripada mereka menangis ketakutan.
"Alhamdulillah.. syukur kita selamat sayang.. nasib baik Abang sempat tekan brek" kata lelaki itu lagi.
Ungkapan 'nasib baik sempat tekan brek' seolah-olah menyamai ungkapan 'nasib baik sempat elak', 'nasib baik aku tak pergi sana semalam', 'nasib baik aku tak buat perkara tu', ' nasib baik aku tak jumpa dia', 'nasib baik aku datang hari ini' dan macam-macam lagi ungkapan yang seerti dengannya.
Dan selalunya akan diikuti dengan ungkapan 'Kalau tidak......bla, bla dan bla..'
Inilah persepsi kebanyakan manusia apabila terselamat daripada kejadian yang tidak diingini terus merasakan nasibnya baik walaupun mereka telah melakukan perkara-perkara yang terlarang dan tidak mengambil sebarang langkah pencegahan terlebih dahulu. Tetapi selepas itu, mereka mengulangi perbuatan yang sama seolah-olah tiada nilai keinsafan dalam diri mereka.
Apa punca semua ini? Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku sebelum ini? Atau kita harus menunggu terjadinya sesuatu yang buruk kepada diri kita mahupun keluarga kita baru hendak terngadah?
Apakah kita hendak memakai topi kelendar ketika menunggang motosikal dan mematuhi had laju ketika memandu kenderaan setelah kita parah akibat kemalangan?
Apakah setelah kita dirogol baru hendak menutup aurat sepenuhnya?
Apakah setelah ibu bapa kita meninggal dunia baru kita hendak menziarahi dan berbuat-buat baik kepada mereka?
Apakah kita perlu menunggu malaikat maut datang untuk mengambil nyawa baru kita terkocoh-kocoh hendak bertaubat?
Apakah setelah kita dihumban ke Neraka Allah baru kita hendak menunaikan segala perintahNya yang selama ini kita ingkar?
Astaghfirullahala'zim...

Kita tidak berharap agar semua ini berlaku, tetapi kita masih tidak sedar. Kenapa? Kenapa  masih hendak menunggu saat 'brek ditekan'? Kenapa kita tidak mahu mengambil sedikit masa untuk mengambil langkah pencegahan?
Mendengar Nasihat Orang Lain
Terjatuhkan ego anda apabila anda mendengar nasihat daripada orang lain? Seeloknya pandangan orang lain diambil kira terutama dalam membuat sesuatu keputusan. Kenapa perlu ego? Adakah kita sudah hebat sehingga tidak memerlukan pendapat orang lain?
Sikap tidak mahu mendengar 'suara' orang lain adalah antara sikap pentingkan diri sendiri. Orang yang pentingkan diri sendiri hanya mahu mengikut suara nafsu dan keinginannya saja, padahal perbincangan bersama mempunyai seribu keberkatan.
Ketepikan pangkat dan darjat untuk mengambil pandangan orang lain. Ketepikan status dan kuasa. Contohilah Nabi Sulaiman a.s yang sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya memutuskan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan?
Dalam kehidupan ini, ada 3 suara yang kita perlu dengar, iaitu suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita, kedua ialah suara pelanggan kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka dan ketiga ialah suara lawan kerana melalui kritikan mereka kita tahu kelemahan diri kita. Kadangkala kritikan itu membangunkan kita dari terlena. Kritikan membina!
Manakala seorang suami sepatutnya mendengar pandangan daripada isterinya dan tidak memperlekehkan walaupun pandangan tersebut tidak bernas.
Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar nasihat orang lain, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka.

Elak Pisang Berbuah Dua Kali
Kesilapan yang pernah dilakukan memang perlu diambil pengajaran untuk kita ketahui kelemahan diri dan seterusnya memperbaiki diri. Tetapi bagaimana jika kita asyik mengulangi kesilapan yang sama sahaja? Adakah itu merupakan suatu usaha untuk memperbaiki diri sendiri?
Oh... tidak! Jangan ulang kesilapan yang sama berulang-ulang kali, sebab nanti kita tidak jumpa jalan untuk berpatah balik.
Mengulangi kesalahan yang sama mencerminkan peribadi kita yang teruk. Manakan tidak, seorang yang berjalan dan jatuh longkang pada hari pertama, adakah dia akan lalu di jalan yang sama dan jatuh longkah lagi untuk hari kedua? Tidak bukan? Kalau ya, memanglah patut dia dikatakan tidak waras! Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:-
Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang sama"..
(Riwayat Shahih Muslim No.5317)
Kesalahan yang pernah kita lakukan dulu, kita kaji apa puncanya, apa kesannya, dan apa iktibarnya. Kalau ini yang berlaku, kita mungkin tidak akan selalu 'tekan brek' malah kita akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Jangan bodohkan diri dan diperbodohkan. Apabila sudah bertaubat, maka akan disusuli dengan usaha supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Memang perit untuk berubah menjadi lebih baik, dugaan dan rintangan sentiasa menghalangi, namun ingatlah bahawa Allah S.W.T itu Maha Penilai. Kesungguhan yang ditunjukkan kita sedikit sebanyak akan mendapat keberkatan daripadaNya.
Yakin dan percayalah bahawa setiap usaha ke arah kebaikan itu akan membuahkan hasil.
"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung".
(Al-Imran ayat 200)
Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati
'Prevention is Better Than Cure' adalah satu pepatah yang menarik di mana mengingatkan manusia supaya mengambil langkah pencegahan mengenai perbuatan yang akan dilakukan untuk mengelakkan sebarang perkara buruk daripada berlaku berbanding apabila sudah ditimpa bencana, baru hendak beringat.
Berhentilah! Jangan lakukan! Tinggalkan! segala perkara buruk, jahat, sia-sia, mungkar dan maksiat yang terang-terang membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain.
Beringatlah sebelum terkena! Jangan mudah mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan, dan jangan pula merasakan bahawa nasib sentiasa baik. Kita tiada kuasa untuk menentukan nasib kita, sebaliknya kita mampu untuk berusaha menjadi lebih baik.
Janganlah pula 'sudah terhantuk lagikan terngadah'. Nasihat orang tidak didengari, kesalahan lalu pula diulangi, kelak nanti memakan diri. Apabila berlaku sesuatu perkara, baru hendak menunding jari kepada orang lain, padahal pentingkan diri sendiri.
Adakah kita yakin esok kita masih hidup?
Adakah kita yakin dapat menikmati syurga?
Selagi terdaya, berusahalah menjadi lebih baik, berusahalah mengelak kemurkaanNya dan berusahalah jauhi azabNya.
InsyaAllah kita tak akan 'tekan brek' selagi masanya belum tiba.