AL-HIKAM


Suluk Seorang Sahaya
S
egala puji-pujian yang tiada dapat dihitung bagi Maula Jalla Wa ‘Ala yang mengutuskan rasulnya Habibuna Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Dan selawat serta salam kepada hadrat Sayyidina Muhammad penutup sekalian Rasul dan Nabi-Nabi ‘Alaihimussolah Wassalam. Dan adapun selepas itu, suluk itu bermaksud berjalan seorang hamba menuju Tuhannya dengan melakukan ketaatan. Maka sahaya pula membawa erti hamba. Adapun seorang hamba itu semestinya bersifat dhaif dan hina serta perlu akan tuannya. Nah, begitulah simboliknya hamba Allah ini yang senantiasa mengharapkan Rahmaniyah Tuhannya yang Maha Agung itu…

Berkata seorang Ulama’ di nusantara ini:
            Di saat manusia menzahirkan kemaksiatan, kita menzahirkan ketaatan.’
Hakikatnya manusia cinta akan Allah dan Rasul-Nya bahkan taat patuh serta sentiasa berhajat pada Tuhannya. Manusia merasa gelisah tatkala diselubungi kegelapan maksiat, cahaya yang sedikit walau hanya si kunang-kunang mampu menenangkan keresahan hamba ini. Namun, manusia yang berterusan dalam kegelapan sudah reput hatinya pada ketakutan gelap maksiat itu dan sudah hilang kegelisahannya itu sehingga tidak dia sedari ular hitam dan kala jengking malam sedang menunggu mangsanya yang sedang leka dalam kegelapan malam itu. Sememangnya perasaan takut akan kegelapan maksiat itu sukar dihakis kerana ia sifat semulajadi insan, begitu juga perasaan manusia yang takutkan kegelapan malam bukanlah mudah dihilangkan, namun setelah menjalani kehidupan fana’ ini 30 tahun, 40 tahun dan seterusnya, hilanglah takutkan malam itu seperti mana hilangnya ketakutan seorang hamba pada maksiat. Hanya hamba yang senantiasa berdampingan pada cahaya pelita di malam hari dan tidak melangkah keluar dari rumahnya yakni batasan-batasan Islam sahaja yang akan berjaya menyelamatkan diri dari binatang-binatang buas di luar rumahnya.
            Adapun di saat ini, manusia yang berani menjejakkan kaki pada kegelapan maksiat itulah yang dianggap berani. Alangkah hinanya pada pandangan mereka ini manusia yang terperuk dalam penjara dunia, mengikat kemahuan mereka pada kebendaan, mengikat kemaluan mereka daripada nafsu syahwat, dan membelenggu diri mereka daripada kemeriahan pesta dunia yang melalaikan. Merekalah sebenarnya yang berani, perangai mereka menakutkan penyembah-penyembah dunia, menimbulkan rasa kurang selesa di hati pendosa. Golongan ini walaupun sedikit punya seribu kekuatan, mereka tidak minum apa yang diminum ahli dunia, tidak makan apa yang dimakan ahli dunia, tidak memakai apa yang dipakai ahli dunia, bahkan tidak berperangai seperti perangainya ahli dunia. Merekalah ahli Allah, yang mengejar cinta Allah, mengharapkan hadiah terbesar dari Tuhan mereka iaitu Redha Allah Azza Wa Jalla.