APA ERTINYA SAYA MEMELUK ISLAM

BAB 1 : SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT ‘AQIDAH

ü  ‘Aqidah yang benar merupakan syarat pertama bagi seorang Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam.
ü  Imam Hassan Al-Banna menetapkan ‘Aqidah yang benar sebagai perkara pertama di dalam Fardul Muslim.
ü  Ia mestilah selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
ü  ‘Aqidah yang benar ialah ‘Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Bagi memastikan ‘Aqidah yang mantap, anda mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:
1.      Beriman bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Bijaksana, Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui yang menciptakan alam ini serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Dalil surah Al-Anbiya’ ayat 22.
2.      Beriman bahawa Allah yang Maha Mulia tidak menjadikan segala  sesuatu sia-sia dan tanpa sebarang tujuan dan tidaklah pula manusia ketahui secara terperinci maksud tujuan ciptaan Allah melainkan melalui penjelasan Rasulullah. Dalil surah Al-Mu’minun ayat 115-116.
3.      Beriman bahawa Allah Taala mengutuskan para Rasul dan diturunkan kitab bagi mereka untuk mengajar manusia mengenali Allah dan beriman bahawa Nabi Muhammad merupakan Rasul terakhir yang dikurniakan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan. Dalil surah An-Nahl ayat 36.
4.      Beriman bahawa matlamat kewujudan insan adalah mengenali Allah, mengabdikan diri dan memberi sepenuh ketaatan kepada-Nya. Dalil surah Az-Zariyat ayat 56-58.
5.      Beriman bahawa ganjaran orang Mukmin yang taat adalah syurga dan balasan orang kafir lagi durhaka ialah api neraka. Dalil surah As-Syura ayat 7.
6.      Beriman bahawa kebaikan dan kejahatan  yang dilakukan dengan pilihan dan kehendak sendiri, namun kebaikan yang dilakukan adalah taufiq dan ‘inayah Allah sedangkan kejahatan yang dilakukan bukanlah paksaan Allah tetapi ia termasuk dalam batas keizinan dan kehendak-Nya. Dalil surah As-Syam ayat 7-10, Al-Muddaththir ayat 38.
7.      Beriman bahawa penciptaan undang-undang adalah hak mutlak Allah Taala. Makhluk tidak boleh membelakangi apatah lagi mendahului hukum-Nya. Ulama’ dibenarkan berijtihad mengeluarkan hukum dari nas dalam batas yang diizinkan. Dalil surah As-Syura ayat 10.
8.      Berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah. Dalilnya :
"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)


9.      Berfikir merenungi kejadian ciptaan Allah, bukan memikirkan Zat-Nya. Dalilnya :
تفكروا فى خلق الله ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره
"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10.  Meyakini bahawa pendapat para salaf yang menyerahkan hakikat sebenar kepada Allah terhadap sebahagian sifat-sifatNya  dalam Al-Quran lebih utama diikuti bagi menyelesaikan perbahasan ta’wil dan ta’thil.
11.  Meyakini bahawa penta’wilan ayat oleh khalaf bukanlah sebab perselisihan antara khalaf dan salaf.
12.  Mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya. Dalil surah An-Nahl ayat 36.
13.  Takut hanya kepada Allah dan bukan selain-Nya. Menjauhi larangan dan kemurkaan-Nya disebabkan perasaan takut kepada-Nya. Dalil surah An-Nur ayat 52, Al-Mulk ayat 12.
14.  Mengingati Allah dan berzikir sebagai penawar jiwa dan sebagai senjata terampuh bagi menangkis serangan masa kini. Dalil surah Ar-Ra’d ayat 28, surah Az-Zukhruf ayat 36-37.
15.  Wajib mencintai Allah dengan hakiki,merasa rindu dan terikat dengan-Nya. Mencintai-Nya hingga terdorong diri untuk melakukan kebaikan dan berjihad di jalan-Nya. Dalil surah At-Taubah ayat 24 dan sabda Rasul :
"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.
16.  Bertawakkal dan menyerahkan segala urusan kepada Allah Taala. Ia dapat menjana kekuatan zahir dan batin dalam menempuh ujian. Dalil surah At-Thalaq ayat 3.
17.  Mensyukuri nikmat kurniaan Allah dengan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dalil surah An-Nahl ayat 78, Yasin ayat 33-35, Ibrahim ayat 7.
18.  Beristighfar membersihkan rohani di samping memperbaharui taubat dan iman serta memberi ketenangan jiwa. Dalil surah An-Nisa’ ayat 110, Ali-‘Imran ayat 135.
19.  Bermuraqabah dengan Allah dalam setiap keadaan. Dalil surah Al-Mujadalah ayat 7.





BAB 2 : SAYA MESTILAH MUSLIM DISUDUT IBADAH


Ibadah merupakan salah satu daripada perkara yang penting bagi setiap muslim.Ibadah juga antara cara bagaimana kita hendak mendekatkan diri kita kepada Allah.
“Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu,Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi aku makan.Sesungguhnya Allah,Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”[Surah Al-Zariat :56=58]
v  Ibadah yang saya lakukan mestilah mempunyai hubungan dengan Allah Ta’ala
‘Ihsan’
"Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau (Hadis Muttafaqun 'Alaih).
v  Ibadah kita mestilah dilakukan dengan penuh khusyuk,Bagaimana hendak khusyuk dalam beribadah?Antaranya kita mestilah mengetahui maksud yang terkandung dalam bacaan kita ayat Al-Quran mahupun zikir kita.
v  Buangkan segala kesibukan dunia sewaktu beribadah kepada Allah Ta’ala.
Berkata ulama’: sembahyang itu merupakan urusan Akhirat,maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari urusan dunia.
v  Sentiasa rasa tidak cukup dengan ibadah yang telah dilakukan dan rasa ingin menambah ibadah yang kita lakukan.
v  Sentiasa mengambil berat terhadap ibadah yang saya perlu lakukan (qiamullail,solat dhuha,solat terawih,puasa pada hari isnin dan khamis dll)
v  Luangkan sedikit masa untuk saya membaca Al-Quran.
“Kamu wajib melazimkan dirimu dengan membaca Al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk di langit”(Riwayat Ibn Hibban)
v  .Sentiasa berdoa kepada Allah, memohon perlidungan dari segala bala bencana dan fitnah dunia akhir zaman.Jadikan doa sebagai perantaraan antara kita dengan Allah Ta’ala.Kita mestilah memilih doa-doa yang ma’thur seperti Al-Ma’thurat,ia adalah antara amalan yang baik untuk diamalkan,baik diamalkan pada waktu pagi dan petang.

Setiap ibadah yang kita lakukan mestilah disertakan dengan niat yang ikhlas Lillahita’ala.
Sekiranya ibadah yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata inginkan pujian atau menunjuk-nunjuk,maka dia hanya peroleh penat dan letih sahaja.





BAB 3 : SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SUDUT AKHLAK


Akhlak adalah sebahagian daripada Iman yang terhunjam di dalam hati setiap manusia.Jika akhlaknya baik,maka ia baiklah imannya.Jika akhlaknya buruk,maka ia menunjukkan keruntuhan imannya.
“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam itu contoh ikutan yang baik”[Surah Al-Ahzab:21]
Akhlak yang mulia lahir daripada ibadah yang khusyuk dan sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala.
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara yang munkar”
[Surah Al-Ankabut:45]
Sifat-sifat yang perlu ada:
Ø  Bersifat wara’  dengan meninggalkan perkara-perkara yang shubahat apatah lagi perkara yang haram.
Ø  Menjaga pandangan mata daripada melihat perkara-perkara maksiat seperti melihat wanita ajnabi.
“Katakanlah kepada orang mukmin supaya menjaga pandangan mereka”
[Surah An-Nur:30]
Ø  Menjaga tutur kata daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah,menfitnah dan mengeluarkan kata-kata yang kesat.
“Bukanlah ia seorang mukmin sekiranya ia suka menuduh,melaknat bercakap kotor dan keji”[Hadis riwayat At-Tirmizi]
Ø  Menanamkan sifat malu dalam diri kerana ia sebahagian daripada iman,tetapi malu itu mestilah kena pada tempatnya.
“iman itu mempunyai 70 cabang @ 60 cabang,maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illah dan yang paling rendah menyingkirkan duri dari jalan.Dan sifat malu ialah satu dari cabang iman.”[Hadis Riwayat Baihaqi]
Ø  Mendidik diri supaya bersabar dan bersikap lemah lembut.Lemah lembut bukanlah dalam erti kata lemah atau lesu tetapi lemah lembut di sini bererti suatu penampilan yang penuh dengan sopan santun dan adab-adab yang mulia.
“Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar”[Surah Al-baqarah:153]
“Bukanlah orang yang gagah perkasa itu orang yang mampu merebahkan orang lain,tetapi sebenarnya orang yang gagah perkasa itu ialah orang mampu mengawal dirinya ketika marah.”[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ø  Sentiasa bercakap benar dan jujur dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Tidak ada iman (tidak sempurna iman) bagi orang yang tidak ada sifat amanh pada dirinya”.[Hadis Riwayat Ahmad]
Ø  Bersifat rendah diri (tawadhu’) dan tidak bangga diri (sombong) dengan orang lain.
“Tidak memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takabbur (bangga diri).”[Hadis Riwayat Muslim]
Ø  Menjauhi sangka buruk dan mengumpat (ghibah).Kita  tidak boleh mengutuk orang dan kita perlu sentiasa bersangka baik kepada orang.Sesiapa yang sentiasa bersangka baik dengan manusia maka tiadalah permusuhan dalam kehidupannya dengan izin Allah.
Ø  Melatih diri dengan sifat pemurah,sentiasa memberi sedekah dan membantu orang yang berada dalam kesusahan.Kita tidak perlu risau sekiranya duit kita sedikit kerana rezeki datang daripada Allah Ta’ala.Kita perlu yakin kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

      
BAB 4 : SAYA MESTILAH MEMAHAMI CARA-CARA BERAMAL DALAM ISLAM

            Saya mestilah benar-benar memahami jalan pergerakan ini dengan hati yang sedar dan pemikiran yang sihat, bukan secara membuta tuli atau kerana sesuatu keinginan.Ini kerana organisasi lain yang berbagai bentuk tidak berdasarkan kepada manhaj rasulullah S.A.W. dengan sempurna bahkan terdapat perbezaan yang besar dari sudut iltizam.

            Bahkan orang yang memerhati seluruh alam islami akan melihat wujudnya pertubuhan islam dalam berbagai bentuk dan aliran.Misalnya :

1.Kelompok yang menjerumus kepada ke arah kerohanian.

Kegiatan-kegiatan yang lebih cenderung kearah kerohanian sedangkan bidang-bidang lain langsung tidak mendapat perhatian sedangkan islam amat menitikberatkan soal pemikiran,siasah,jihad,organisasi,perencanaan,  perancangan dan seumpamanya.Fahaman demikian menyebabkan mereka terpisah jauh dari realiti kehidupan.

2.Kelompok yang menjerumus kepada kebudayaan dan keilmuan.
Pertubuhan-pertubuhan lain yang kegiatannya muncul atas dasar ingin berlumba-lumba dari aspek status kebudayaan dam keilmuan.Ini menyebabkan munculnya pertubuhan-pertubuhan islam yang akhirnya merugikan disebabkan gerak-gerinya yang selari dengan pertubuhan lain yang menentang islam untuk mencapai status terbaik.

3.Kelompok yang menjerumuskan kearah kebajikan.
Terdapat jema’ah yang hanya cenderung ke arah kebajikan sahaja.Oleh itu,ia tidak dianggap sebuah harakah yang boleh mengubah kehidupan  ke arah mengembalikan cara hidup islam secara keseluruhannya.

4.Parti-parti yang menumpukan ke arah politik semata-mata.
Sifat pertubuhan ini yang sebenarnya ‘cacat’ dan tidak merangkumi islam secara keseluruhan menunjukkan bahawa pertubuhan ini sememangnya  mengatakan bahawa islam bersifat juz’i,sempit dan menyusahkan sedangkan islam bukan yang sedemikian rupa.

 SAYA MESTI MEYAKINI BERAMAL UNTUK ISLAM ITU WAJIB

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah:

v  untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam,
v  melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam
v  memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini.

menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.
Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

·         Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

·         Wajib dari Sudut Hukum.

·         Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

·         Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

·         Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.






Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

Beramal atau bekerja untuk islam (menegakkan seluruh ajaran) pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, bermula dari zaman para Nabi dan Rasul hingga hari kiamat.

Dalil berdasarkan Al-Quran:
Dan Firman Allah bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Dan firman Allah bermaksud:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. (Al-Maaidah, Ayat: 67).
Dan firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk (Al-Baqarah, Ayat: 159).

Dalil berdasarkan sunnah:

Sabda Rasullallah:
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”
(Hadis riwayat Tirmizi).
Sabda baginda yang lain:
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya”.
(Hadis riwayat Hakim).
























Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam dari sudut hukum adalah wajib kerana syariat Allah tidak akan berjalan di atas muka bumi  ini tanpanya. Dunia sekarang semakin roboh,dan menjadi tanggungjawab kita menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan.

 Dalil dari Al-quran yang menerangkan tentang system kehidupan:
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(An-Nisa’, Ayat: 65).

Dan firman Allah bermaksud:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Asy-Syura, Ayat: 10).
Begitu juga firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
(Al-Maaidah, Ayat: 44).

Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Al-Maaidah, Ayat: 45).

Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.
(Al-Maaidah, Ayat: 47).
Sebahagian besar dari negara-negara Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.






Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.
Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.
Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.
Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.
Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.
Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah bermaksud:
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.
(Al-Anfaal, Ayat: 39).


Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.


Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?
(Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
( Maryam, Ayat: 95).
Firman Allah lagi bermaksud:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.
(Al-Israa’, Ayat: 7).
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(Al-An’aam, Ayat: 164)
Firman Allah lagi bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.
(Al-’Ankabuut, Ayat: 6).
Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.
Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.
Di antara realiti-realiti tersebut ialah:
1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.
2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan.
Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.
3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.
Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).


Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.


1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.
Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
(Al-Ankabuut, Ayat: 6).
Allah s.w.t juga berfirman bermaksud:
Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Surah Muhammad, Ayat: 38).
2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.
3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.
Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.
bermaksud:
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Az-Zaariyaat, Ayat: 55).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr, Ayat: 1 – 3).
Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).
4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.
Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.
Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.
Allah s.w.t berfirman bermaksud:
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaaq, Ayat: 126).
Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Al-Fath, Ayat: 10).