'BERSAMA KITA MENYAMBUNG MATA RANTAI PERJUANGAN RASULULLAH DEMI MEMBAWA ISLAM KE PERSADA DUNIA'
Pages
LAMAN BLOG RASMI ASPUTRA MAKTAB MAHMUD ALOR SETAR
Wednesday, December 28, 2011
Siapa Tidak Kenal Dengan Abu Ayyub Al-Ansari
Khalid ibn Zayd ibn kulayb dari Banu Najjar adalah seorang sahabat yang gemilang di dalam lipatan sejarah generasi pertama. Ia adalah seorang sahabat yang amat karib dengan Rasul SAW. Kerana anaknya Ayyub, ia dikenali sebagai Abu Ayyub. Di kalangan penduduk Madinah Abu Ayyub ialah seorang yang amat dihormati oleh kaum Ansar kerana keakrabannya dengan Rasulullah SAW...
Dalam detik-detik bersejarah ketibaan Rasul SAW di Madinah dalam hijrahnya, beliau telah di beri sambutan yang hangat oleh penduduk Madinah. Mereka mencurahkan seluruh jiwa raga dan kecintaan mereka kepada manusia kecintaan Allah yang memilih untuk tinggal bersama mereka. Seolah-olahnya menyambut pemimpin besar yang baru pulang dari perantauan malah bukan setakat itu sahaja, manusia agung ini juga disambut dengan penuh kecintaan seolah-olah sebagai kekasih hati yang telah lama berpisah...
Perhentian pertama Rasul SAW di Quba membawa Rasulullah SAW tinggal di situ beberapa hari. Di sinilah masjid pertama dibina seperti yang diabadikan Allah di dalam al-Quran sebagai masjid yang dibina di atas asas taqwa...
Unta Rasulullah berjalan terus melintasi rumah demi rumah sambil diikuti oleh setiap tuan rumah yang dilintasi dengan rasa kecewa sedangkan mereka yang masih di jalanan unta terus menaruh harapan yang tinggi kerana unta Rasulullah yang mulia memilih untuk terus berjalan...
Unta Rasulullah terus berjalan diikuti oleh penduduk Madinah hinggalah ia berhenti sambil enggan berjalan lagi di kawasan lapang di hadapan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Rasulullah tidak turun dari unta sambil melepaskan tali unta. Selepas beberapa ketika menanti, unta Baginda bangun dan berjalan lagi. Namun selepas beberapa ketika unta tersebut pulang kembali menelusuri jalan asalnya ke rumah Abu Ayyub...
Alangkah gembiranya Abu Ayyub sambil berlari menyambut Rasulullah dan membawa barangan Rasulullah ke rumahnya seolah-olah ia sedang mengangkat harta yang paling berharga di dunia...
Abu Ayyub mengosongkan tingkat atas rumahnya dan meminta Rasulullah tinggal di tingkat atas. Rasulullah SAW menolak dan meminta untuk tinggal di tingkat bawah. Malam tiba dan Rasulullah SAW masuk berehat. Abu Ayyub naik ke tingkat atas dan terus berkata kepada isterinya dengan penuh kegugupan, “ celakalah kita !! apa yang telah kita lakukan? Rasulullah di bawah dan kita lebih tinggi darinya? Sanggupkah kita berjalan di atas Rasulullah? Adakah kita akan berada di antara Rasulullah dan Wahyu? Jika demikian pastilah kita akan celaka !!”
Pasangan tersebut amat gusar dan tidak tahu apa lagi yang dapat mereka lakukan. Sepanjang malam mereka hanya berjalan di bahagian tepi bangunan yang tidak berada tepat di atas Rasulullah SAW.
Di pagi harinya, Abu Ayyub berkata kepada Rasul SAW, “ Demi Allah aku dan Ummu Ayyub tidak tidur semalaman !” kenapa tidak Abu Ayyub?, “ Tanya Rasulullah. Abu Ayyub menyatakan rasa hatinya kepada Rasulullah SAW dan kegusarannya berada di kedudukan yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW dan kebimbangan bahawa mereka akan mengganggu turunnya wahyu. Rasulullah SAW yang amat penyayang tersenyum sambil berkata “ Jangan bimbang Aku memilih tingkat bawah kerana ramainya manusia yang datang melawat kami. ” Abu Ayyub berkata “ Aku tunduk kepada kehendak Rasulullah SAW ” sehinggalah pada suatu malam yang dingin kendi air kami pecah dan airnya membasahi ruang atas. Ummu Ayyub dan aku melihat dengan bimbang. Kami hanya memiliki sehelai kain sutera yang kami gunakan sebagai selimut. Lantas kami menggunakannya untuk mengeringkan air tersebut kerana takut ia akan menyerap turun dan mengenai Rasulullah SAW. Di waktu paginya aku pergi kepada Rasulullah dan menyatakan kami tidak suka berada di atas engkau ya Rasulullah !, sambil aku menceritakan apa yang berlaku. Barulah Rasulullah SAW menerima permohonanku dan kami pun bertukar paras”.
Rasulullah SAW tinggal bersama Abu Ayyub selama hampir 7 bulan sehingga masjid yang dibina siap di kawasan lapang di hadapan rumah Abu Ayyub.
Rasulullah berpindah ke masjid tersebut dan menjadi jiran kepada Abu Ayyub. Abu Ayyub amat mengasihi Rasulullah SAW begitu juga Rasulullah amat mencintai Abu Ayyub. Mereka begitu akrab sehingga Rasulullah SAW sentiasa menganggap rumah Abu Ayyub sebagai rumahnya sendiri.
Kisah berikut menggambarkan bagaimana karibnya Rasulullah SAW dan Abu Ayyub sebagai jiran.
Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar R.A keluar meninggalkan rumahnya di waktu rembang tengahari ketika matahari panas terik menuju ke masjid. Sayidina Umar melihat lantas bertanya, “ Ya Abu Bakar ! apakah yang telah membawa kamu keluar pada waktu begini? Abu Bakar menyatakan bahawa ia telah meninggalkan rumahnya kerana kelaparan yang amat sangat. Sayidina Umar lantas menyatakan bahawa dia juga sebenarnya sedang berada dalam keadaan yang sama...
Maha suci Allah yang mempertemukan mereka dengan Rasulullah SAW. Rasulullah melihat mereka berdua lantas bertanya soalan yang sama, “ Apakah yang telah mengeluarkan kamu dari rumah kamu pada masa begini? ” mereka menjelaskan kepada Rasulullah keadaan mereka. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa “Demi Allah yang nyawa ku berada di tangan Nya, hanyalah kelaparan yang telah juga mengeluarkan aku dari rumah ku, mari bersama ku ”.
Rasulullah SAW amat memahami ke manakah tujuan yang amat disenanginya... mereka menuju ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sebagai wanita Mukminah yang terdidik dengan didikan iman kepada Allah dan hari akhirat, isteri Abu Ayyub membuka pintu lantas menyambut mereka dengan katanya “ Selamat datang Rasulullah dan siapa saja yang bersamanya ”.
“ Di mana Abu Ayyub? “ Rasulullah SAW bertanya seolah-olah seperti saudara rapat yang amat memahami satu sama lain. Abu Ayyub yang sedang bekerja di kebun tamar berhampiran mendengar suara Rasulullah lantas bergegas datang mendapatkan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya lantas mengalu-alukan Rasulullah dengan ucapan penuh kemesraan dan kerelaan hati menyambut jirannya yang mulia “ Selamat datang Rasulullah dan siapa saja yang bersamanya ”. Abu Ayyub yang amat memahami Rasulullah SAW menyapa “ Ya Rasulullah, ini bukan masa yang biasa engkau selalu ke mari ” sebenarnya Abu Ayyub sememangnya selalu menyediakan sedikit makanan kepada Rasulullah setiap hari dan jika Rasulullah SAW tidak datang mengambilnya pada masa-masa tertentu, ia akan menghantarnya kepada keluarga Baginda. “ Engkau benar...wahai Abu Ayyub ”.
Maha suci Allah yang maha pemurah yang menjadikan Rasulnya yang mulia dan para sahabatnya yang gemilang sebagai contoh jiran terbaik yang pernah wujud dalam sejarah kemanusiaan...
Abu Ayyub lantas keluar menuju ke kebun tamarnya lalu memotong serumpun tamar yang bercampur antara tamar yang masak dan separa masak. Rasulullah SAW menegurnya “ Aku tidak mahu kamu mengambil yang ini, tidakkah kamu hanya mengambil yang masak sahaja? ( Rasulullah tidak mahu Abu Ayyub mengambil semuanya hingga yang separa masak- hadis lain menunjukkan Rasulullah sebenarnya gemar memakan tamar yang separa masak ). Abu Ayyub berkata, “ Ya Rasulullah, makanlah dari kedua-duanya yang masak dan yang separa masak. Aku akan menyembelih seekor ternakan ku untuk mu juga ” Rasulullah SAW menyebut “ jika engkau akan menyembelih, jangan menyembelih ternakan yang sedang mengeluarkan susu ”. Abu Ayyub akhirnya menyembelih seekor kambingnya yang muda, memasak separuh darinya dan memanggang separuh yang lain.
Apabila makanan telah dihidangkan di hadapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya, Rasulullah SAW mengambil sepotong daging dan meletakkannya di dalam roti lalu berkata kepada Abu Ayyub ” bawalah ini kepada Fatimah, dia telah beberapa hari tidak merasakan makanan sebegini ”.
Setelah makan dan merasa puas, Rasulullah SAW lantas bersabda “ Roti, daging, busr dan Rutab...! ” lantas baginda menangis hingga mengalir air mata nya. Rasulullah menyebut “ ini ialah rahmat dari Allah yang akan ditanya ke atas kamu di hari akhirat nanti. Jika rezeki sebegini datang kepada mu, letakkan tangan kamu padanya dan bacalah Bismillah dan setelah kamu habis, sebutlah Alhamdulillah hilazi huwa ashbana wa an-‘ama alaina. Inilah yang terbaik ”.
Inilah sekilas dari kehidupan Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat Rasulullah SAW yang terkenal ketika masa damainya, Abu Ayyub juga sebenarnya adalah mujahid yang telah meninggalkan kisah hebat yang menjadi tauladan sepanjang zaman.
Sesungguhnya Abu Ayyub telah menghabiskan kebanyakan dari detik hidupnya berperang di jalan Allah. Dikatakan bahawa Abu Ayyub tidak pernah meninggalkan mana-mana medan peperangan yang dilibati oleh kaum Muslimin sejak dari zaman Rasulullah hinggalah ke zaman Muawiyyah melainkan dia ketika itu sedang terlibat di dalam peperangan yang lain pada masa yang sama.
Kempen peperangan terakhir Abu Ayyub ialah di zaman Muawiyyah dalam peperangan ke atas Konstentinopel. Abu Ayyub ketika itu berumur sekitar 80 tahun. Sesungguhnya ketuaan yang sebegitu tidak menghalang Abu Ayyub dari menyertai pasukan tentera menyeberangi lautan di jalan Allah SWT. Walau bagaimanapun selepas masa yang singkat, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa dibawa keluar dari medan. Yazid bin Muawiyyah sebagai panglima perang datang kepadanya lalu bertanya; “ Adakah engkau memerlukan apa-apa wahai Abu Ayyub? ”. Abu Ayyub, di ketika detik-detik terakhir kehidupannya di medan juang meninggalkan pesan yang menjadi i’brah kepada setiap Mujahidin selepas daripadanya. Dia menjawab; “ Sampaikan salam ku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka, Abu Ayyub menggesa kamu untuk menyerang jauh ke dalam perbatasan musuh semampu kamu. Kamu mesti membawanya ( Abu Ayyub ) bersama dan kamu mengebumikannya di bawah kaki-kaki kamu di tepi dinding kubu Konstentinopel !!”.
Abu Ayyub akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir di medan peperangan dengan penuh kemuliaan seorang pahlawan yang terbilang dan Mujahidin fisabililLah.
Tentera Muslimin telah memenuhi kehendaknya. Mereka menyerang pasukan musuh dalam serangan demi serangan hingga mereka sampai ke dinding kota Konstentinopel. Di situlah Abu Ayyub telah dikebumikan.
( Pasukan Muslimin telah mengepung kubu tersebut selama 4 tahun tetapi terpaksa berundur selepas mengalami kehilangan yang besar sehinggalah Konstentinopel di buka semula pada zaman sultan Muhammad al-Fatih dari Uthmaniyyah, Turki ).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment