Thursday, June 28, 2012

Air Mata Keinsafan...

Air mata keinsafan Yang mengalir di malam sepi Inilah dia pelembut jiwa Bagi mendapat kasih Ilahi Rintihan di pertiga malam Dari seorang hamba yang dhoif Kerna mengenang segala dosa Moga mendapat keampunan dari Ilahi... Setiap kekasih Allah Menempuhi jalan ini Untuk mereka memiliki kejayaan Ayuh bersama kita susuli Perjalanan kekasih Allah Agar kita tiada rugi Dalam meniti hidup ini Deraian air mata ini Titisan yang paling berharga Buat menyimbah api neraka Moga selamat di titian sirat Bahagia menuju syurga abadi....

Segala Bagi Manusia

1 Jika bermimpi membantan bulu ketiaknya atau mencukur. Alamat lepas daripada hutangnya. 2 Jika bermimpi air liur bercampur dengan kerahaknya. Alamat hartanya akan hilang dan berkata-kata dengan dusta atau dengan orang dusta. 3 Jika bemimpi mukanya bergerak. Alamat rezekinya mahal. 4 Jika bermimpi dirinya mengurut orang atau orang mengurut dia. Alamat lepas daripada dukacita. 5 Jika bermimpi dirinya berilmu atau berjumpanya dengan orang yang berilmu. Alamat menjadi penghulu besar. 6 Jika bermimpi dirinya membuat berhala atau menyembah dia. Alamat pekerjaannya derhaka kepada Allah Taala. 7 Jika bermimpi dirinya menjadi binatang. Alamat akan sakit atau kebinasaan atau pun kehilangan. 8 Jika bermimpi rambutnya panjang. Alamat beroleh sahabat atau isteri. 9 Jika bermimpi dirinya terbang tinggi. Alamat beroleh laba atau rugi. 10 Bermimpi dirinya kidal atau perempuan atau berdarah. Alamat beroleh harta atau isteri atau beroleh anak. 11 Jika bermimpi dirinya kurus. Alamat beroleh harta. 12 Jika bermimpi memangkal rambutnya. Alamat bercerai dengan isterinya. 13 Jika bermimpi bertelanjang. Alamat lepasnya daripada dukacita. 14 Jika bermimpi membuang darah. Alamat penyakit akan hilang dari tubuhnya. 15 Jika bermimpi banyak keluar darah daripada tubuhnya. Alamat beroleh harta yang halal. 16 Jika bermimpi dirinya pendek. Alamat tiada jadi barang kerjanya. 17 Jika bermimpi dirinya gila. Alamat lepas daripada penyakit. 18 Jika bermimpi dirinya lekat getah. Alamat tiada sempurna barang kerjanya. 19 Jika bermimpi parasnya seperti paras perempuan. Alamat beroleh anak atau harta. 20 Jika bermimpi dirinya bersumpah. Alamat tiada baik tetapi mengapanya. 21 Jika bermimpi dirinya mati maka hidup pula. Alamat sebarang kehendaknya diperoleh. 22 Jika bermimpi dirinya mati. Alamat lanjut umurnya. 23 Jika bermimpi orang mati. Alamat akan payah atau berkelahi dengan orang atau pun beroleh harta dengan tiada pekerjaan. 24 Jika bermimpi dirinya dibawa orang akan kubur. Alamat beroleh kekayaan. 25 Jika bermimpi berpesan pada orang yang mati. Alamat barang kerjanya gendala. 26 Jika bermimpi menjadi raja. Alamat segala pekerjaan aniaya. 27 Jika bermimpi dirinya dibunuh orang. Alamat lanjut umurnya atau beroleh laba besar. 28 Jika bermimpi matanya tiada. Alamat singkat umurnya. 29 Jika bermimpi melihat kepala orang atau mata orang. Alamat beroleh emas. 30 Jika bermimpi terbang ke atas kayu atau barang tempat tinggi. Alamat bercerai dengan isterinya. 31 Jika bermimpi terbang. Alamat beroleh ilmu atau ianya beroleh kebajikan. 32 Jika bermimpi bulu ketiaknya banyak atau pun rambutnya. Alamat beroleh sentosanya. 33 Jika bermimpi ia berkata-kata dengan khalifah atau pun duduk dengan dia. Alamat barang katanya diturut orang. 34 Jika bermimpi dimurkai raja. Alamat keturunan (kekurangan) hartanya. 35 Jika bermimpi berbantah-bantah dengan khalifah jika ia menang. Alamat keras barang kerjanya. 36 Jika bermimpi digantung orang akan dia. Alamat lepas daripada hutangnya. 37 Jika bermimpi direnti orang lehernya. Alamat tiada dia menurut jalan agama maka segeralah ia taubat kepada Allah Taala supaya lepas daripada api neraka. 38 Jika bermimpi dirinya diperhamba orang hina. Alamat keturunan hartanya. * keturunan = kekurangan

Pakaian Yang Mulia-Mulia

Bil Jika bermimpi: Ta’bir 1 Seperti permata dan manikam atau pun barang warna sekalipun Alamat beroleh harta atau jadi penghulu, dan orang pun kasih akan dia. Jika tiada demikian nescaya beroleh anak laki-laki atau harta pusaka. 2 Bergelang perak pada kakinya. Alamat akan beroleh kebajikan. 3 Dirham dibelah dua. Alamat akan berkelahi. 4 Emas dan perak dan timah. Alamat sebarang kerjanya tiada menjadi. 5 Besi dipergelangannya. Alamat keras kerjanya. 6 Berjunjung timah. Alamat dukacita. 7 Emas bertatah permata atau manikam. Alamat beroleh kekayaan atau beroleh anak laki-laki. 8 Berkuda atau berpayung naik pada tempat tinggal. Alamat menjadi raja atau menjadi menteri jika ada asalnya atau menjadi penghulu jika asalnya rakyat. 9 Bertengkolok besar atau berbaju besar. Alamat akan menjadi penghulu besar. 10 Berikat pinggang. Alamat akan lanjut umurnya. 11 Berkain hijau. Alamatnya perkenan Allah Taala segala pekerjaannya. 12 Memakai kain putih atau hijau. Alamat petunjuk baik. 13 Memakai kain hitam. Alamat petunjuk tidak baik, serta meminta doa juga kepada Allah Taala. 14 Memakai kain merah. Alamat tiada baik juga petunjuknya. 15 Makan kain. Alamat beroleh laba besar akan dia. 16 Tali bayak di rumahnya. Alamat barang ditentunya diperolehi. 17 Bergelang kakinya. Alamat beroleh kebajikan. 18 Emas banyak di rumahnya. Alamat lepas daripada hutangnya atau pun hendak beroleh sahaya segeranya hendak dimurahkannya. 19 Memakai bulu kambing atau biri-biri. Alamat akan sakit tetapi segeranya akan sembuh. 20 Menjahit pelana kuda. Alamat berhimpun harta kepadanya. 21 Kain di punggungnya carik. Alamat keluarganya akan mati. 22 Bajunya carik. Alamat kematian.

Saturday, June 2, 2012

Menjadi PEMUDA DAN PEMUDI Islam UNGGUL

Matlamat utama persiapan pemuda pemudi Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya qawamah (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan para pemuda pemudi Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahilliyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam. Menurut as-Syeikh Fathi Yakan, pada hakikatnya usia muda seorang pemuda pemudi ialah:- 1) Usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi 2) Usia yang mengalir darah yang gemuruh 3) Usia yang tinggi idealisme yang luas 4) Usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula 5) Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Menurut Syeikh Yusuf Al-Qardawi pula, tanda-tanda pemuda pemudi Islam yang unggul itu adalah suatu generasi yang mempunyai sifat-sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca al-Quran atau mempelajari sunnah Nabawiyyah. Di antara sifat-sifat unik generasi ini adalah:- 1) Generasi yang percaya kepada realiti dan ilmu 2) Generasi amal dan membina jama'iy 3) Generasi rabbani dan ikhlas 4) Generasi yang bernasabkan Islam 5) Generasi da'awah dan jihad 6) Generasi dagang dan hidup bersama orang ramai 7) Generasi gagah dan agung 8) Generasi seimbang dan sederhana Manakala menurut Syeikh Mohammad Ahmad ar-Rasyid, terdapat beberapa kesilapan dan fitnah kehidupan yang perlu diberi perhatian wajar oleh para pemuda pemudi Islam. Ini adalah kerana kita sentiasa terdedah kepada pelbagai tekanan luaran dan peristiwa yang mempengaruhi secara beransur-ansur keatas iman terhadap amal dan da'awah. Pengaruh luar ini ada dalam pelbagai bentuk yakni ada yang mengugat aqidahnya, akhlaknya, keluarganya dan sebagainya. Di antara pengaruh-pengaruh ini adalah: 1) Gerakan dan propaganda yang menyebarkan keraguan dan salah faham terhadap Islam dan keunggulannya 2) Fitnah rakan sebaya yang jahat dan persekitaran yang tidak sihat 3) Fitnah harta dan keluasan rezeki yang melimpah ruah 4) Fitnah ijazah dan pangkat 5)Fitnah wanita, isteri dan anak-anak Beberapa langkah bagi meningkatkan kecemerlangan pemuda pemudi Islam bagi mencapai qawamah (penguasaan) Islam terhadap diri, keluarga, masyarakat dan dunia ialah:- 1) Kenalpasti tahap kemampuan ada yang sebenar 2) Beri tumpuan kepada kekuatan-kekuatan ada 3) Tanamkan rasa percaya kepada diri sendiri 4) Sediakan diri anda untuk menjadi orang yang terbaik 5) Ambil pelajaran daripada kesilapan yang telah anda lakukan 6) Belajar menerima teguran yang membina dan hiraukan kritikan yang remeh 7) Perakui kejayaan anda 8) Tetap merendah diri 9) Terus memperluaskan pengetahuan dan pemikiran ada 10) Bersyukur kepada Allah di atas apa yang diberikanNya

Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat. Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di sebuah pasaraya telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda. Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan. Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga. Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka." Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung. Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam. Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?" Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga. Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz. "Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis. Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?" Gadis tu terdiam. Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian. Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."