"Man, cuba kau tengok mamat tu"
"Style dohh.."
"Kau tengok apa dia pakai"
"Baju Paddini dengan seluar Levis tu kira ok lagi. Boleh consider affordable la. Tapi, yang tak boleh tahan tu, jaket Zara dengan kasut Onitsuka Tiger"
"Mau-mau, aku tengok barang kat badan dia je, dah cecah Rm 1000"
"Mahal tu !!!" Kata Amir penuh teruja
"Mahal apa ? Mahal barang ke ? Mahal orangnya ? " Tanya man seolah-olah meminta penjelasan lanjut
"Mahal barang je kot.." Jawab Amir kembali
"Dah tu, awat kau kagum sangat? Harga diri kau lebih mahal tahu tak Mir! "
"Mahal apanya, aku ni pakai baju cap ayam dengan selipar jamban je. Murah kot. Awek-awek tengok pun nak termuntah "
"Rugi-rugi. Kau masih tak sedar mir, bahawa harga diri kau sungguh mahal. Sangat-sangat mahal. Hendak tahu sebab apa ? "
"Sebab kau seorang pemuda mir. Pemuda !"
Harga Diri Seorang Pemuda
Jiwa yang muda, lahir dari semangat yang kental, keperwiraan yang sejagat serta keinginan yang membuak-buak. Jiwa muda juga adalah jiwa keberanian, jiwa kesatuan dan juga jiwa pengharapan. Rugilah jika anda muda pada "lahirnya" tetapi tua dari segi "semangat" dan "pemikiran".
Dalam hal ini, Imam Hassan Al Banna telah mengariskan 4 rukun pemuda iaitu ;
1) Iman (hati yang suci)
2) Ikhlas (jiwa yg bersih)
3) Hammasah (perasaan yg kuat)
4) Amal (azam seorang pemuda)
Hebat bukan seorang pemuda itu ? Jangan diingat negara sahaja punya rukunnya yang tersendiri, pemuda juga turut sama punya rukun. Bezanya rukun pemuda adalah bercirikan aspek pembinaan individu.
Pembinaan individu yang mengambarkan pemuda sebagai seorang yang mempunyai kemampuan, tekad, keberanian dan kesabaran dalam menghadapi tentangan. Dengan adanya pemuda, segala permasalahan umat dapat diatasi, musuh dapat dihalau dan bendera kebaikkan dapat dikibarkan.
Fuhh.. Berpeluh panjang saya copy and paste risalah pemuda tulisan Hassan Al Banna ini ! Terasa berat pula pundak (bahu) mahu memikul dan menulisnya. Namun, jika ada kemahuan, semuanya pasti boleh !
Kita kan pemuda !
Hammasah Aliyah (Keinginan yang tinggi)
Salah satu daripada rukun yang digariskan Imam Hassan Al Banna dalam risalah pemuda adalah Hammasah Aliyah. Keinginan yang kuat! Sifat ini adalah berlawanan dengan Hammasah Daniyah (Keinginan yang lemah).
Kenapa hammasah (keinginan) ini dipandang penting oleh Imam Hassan Al Banna apabila menilai pemuda?
Jawabnya adalah terletak dalam diri pemuda itu sendiri. Kerana hanya pemudalah sahaja mampu mempunyai semangat seperti itu..
Begini, analogi mudah.
Seorang pemuda A, telah jatuh cinta kepada seorang wanita B. Oleh kerana cintanya yang teramat sangat kepada wanita B, dia sanggup berkunjung ke rumah wanita B itu yang terletak 60 km dari rumahnya dengan hanya menaikki basikal. (Rumah wanita itu di pedalaman. Tiada sebarang kenderaan boleh memasukinya kecuali basikal).
Lihat Hammasah Aliyah pemuda A ini --> Dia sanggup berkunjung ke rumah wanita B itu yang terletak 60 km dari rumahnya dengan hanya menaikki basikal. (Rumah wanita itu di pedalaman. Tiada sebarang kenderaan boleh memasukinya kecuali basikal).
Berbeza pula situasinya dengan seorang lelaki yang telah berusia. Andai dia meminati seorang wanita sekalipun, dia terpaksa berfikir beberapa kali untuk menaikki basikal sejauh 60 km secara sendiri.
"Boleh ke tak boleh ni ? Aku dah tua. Badan selalu sakit-sakit ! "
"Joyah oh Joyah,maafkan abang mat aku lebih cinta diriku dari dirimu "
"Selamat tinggal Joyah ! "
Berbeza bukan? Walau pun kedua-duanya adalah lelaki, namun semangat yang tinggi itu ada pada seorang pemuda!
Hammasah Aliyah Seorang Anak Muda!
Dua orang anak muda sedang gagah beraksi sambil berlari-lari di tengah padang pasir. Siang itu, mentari seakan didekatkan hingga sejengkal. Debu-debu pasir mendesir, ranting-ranting kayu yang basah pada malam hari menyala ditiup angin yang keras lagi panas.
Anak muda itu masih berlari. Sambil bertanyakan kepada orang ramai.
"Kamu tahu yang mana satu Abu Jahal ? "
"Tidak tahu " Jawab seorang sahabat r.a
"Kamu tahu ? " Tanya mereka lagi.
Tiba-tiba seorang sahabat r.a menyahut.
"Ya aku tahu wahai anak muda ! "
"Abu Jahal sedang duduk di tengah-tengah kelompokkan musyrikin itu" Jawab Saidina Abd Rahman B. Auf.
Tanpa berlengah lagi, kedua-dua orang anak muda itu menderu laju sambil menunggang kuda menuju ke arah Abu Jahal. Kedua-duanya seolah-olah sedang bersaing untuk membunuh Abu Jahal.
"Yaarghh !!!! " Mereka berdua menyerang Abu Jahal!
Siapakah mereka berdua ini ?
Ya, mereka berdua itu adalah Mu adz bin Amr bin Jamuh (14 tahun) & Mu'awwidz bin Afra' (13 tahun) dan kedua-duanya adalah seorang pemuda!
Dua orang sosok pemuda Anshar yang berazam untuk membunuh Abu Jahal kerana mereka mendengar bahawa Abu Jahal seringkali mencaci Rasulullah saw. Lihat betapa tingginyaHammasah Aliyah mereka ?
Terkejut ? Tiada yang mustahil jika di dalam diri itu adanya keingindan dan semangat yang tinggi. Di atas keazaman yang kuat mereka tetap berusaha untuk mencapai Abu Jahal. Muadz terus melibas betis Abu Jahal hingga putus serta merta.
Namun, apakah pengorbanannya?
Beliau terpaksa membayar dengan satu libasan pedang oleh Ikrimah (anak Abu Jahal yang ketika itu masih belum memeluk Islam) hingga hampir putus lengannya itu. Digambarkan di dalam sirah, lengannya itu seakan tergantung-gantung di kulitnya sahaja. Subhanallah.
Namun, adakah ia menangis? Sesekali tidak. Namun apa yang dikisahkan beliau ketika saat itu,
"Pada hari itu saya benar-benar berperang seharian penuh. Tangan saya yang hampir putus itu hanya bergelantungan di belakang. Dan ketika ia menyulitkan saya, saya pun menginjaknya dengan kaki, lalu saya menariknya hingga tangan saya terputus."
MashaAllah, apakah ada remaja 14 tahun yang sanggup berbuat demikian? Muadz sanggup memisahkan tangan dari jasadnya agar bisa bebas mengobarkan jihad buat agama.
Bagaimana pula halnya Mu'awwidz, kata Muadz,
Lalu Mu'awwidz bin Afra melintas di hadapan Abu Jahal yang sedang luka parah. Lalu ia pun berkata ;
"Di sini, tamatlah riwayatmu wahai Abu Jahal!" Lalu ia pun menebas Abu Jahal yang sedang cedara parah itu dengan pedang.
Tamatlah sudah riwayat Abu Jahal.
Subhanallah. Bagaimana ?
Rasa seperti terkejut yang amat sangat.
Itulah kisah pemuda 13 dan 14 tahun yang jarang sekali kita dengar.
Pemuda Masa Dulu VS Pemuda Masa Kini ?
Pemuda pada masa dulu, bahkan pada masa "datuk-nenek" kita, sememangnya seorang pemuda yang sangat-sangat berdikari.Pengalaman telah mematangkan mereka lebih daripada usia. Mereka mengharungi kehidupan yang sukar menuju kejayaan yang gemilang...
Sebagai contoh, remaja pada zaman dahulu, seawal tujuh atau lapan tahun telah mula bekerja membantu keluarga. Ada yang menoreh getah, berkebun, mengembala lembu dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah, mereka lebih berjiwa kental dan "cepat" matang daripada usia.
Pabila disuruh bekerja, mereka mampu berdikari, pabila disuruh berperang, mereka mampu menjadi "panglima", pabila disuruh memimpin mereka mampu menjadi pemimpin umat.
Mungkin ada segelintir daripada kita akan berfikiran skeptikal dengan membandingkan dinamika kehidupan yang sama sekali berbeza pada waktu dahulu dan sekarang.. lalu, lihatlah pemuda masa kini, mereka juga tidak kurang hebatnya..
Pemuda masa kini, mungkin sedikit manja dan tiada daya tahan pemikiran yang utuh. Saya mengakuinya, saya juga begitu. Ada yang sanggup menangis demi cinta, ada yang tidak tertahan untuk berdikari berseorangan, ada juga yang menangis tika berjauhan dengan ibu bapa. Tika susah sahaja mereka menelefon ayah dan ibu. Tika senang... buah hati sepanjang masa..
Ops ! Bukan pemuda seperti itu yang ingin saya gambarkan ! Tetapi pemuda yang saya ingin gambarkan ini adalah pemuda pencetus revolusi Islam. Ya, pemuda beginilah yang didambakan kemunculannya.
Pemuda pencetus revolusi Islam
Lihatlah kebangkitan Islam di negara-negara Arab. Satu istilah yang sangat sinonim dengan masyarakat dunia masakini
"Arab Spring" !
Siapakah pencetusnya ? Siapakah pendokongnya ?
Tidak lain tidak bukan adalah pemuda. Ya, Pemuda. Pemuda seperti kita!
Di Malaysia, pengaruh golongan muda terhadap gelombang kebangkitan Islam tidak dinafikan. Lewat tahun 80an, arus gelombang mahasiswa Islam telah mula dirasai dan semakin dirasai hingga kini.
Pemuda-pemuda yang mendapat tarbiyah khusus Ikhwanul muslimin di luar negara khususnya Mesir dan United Kingdom, telah pulang ke Malaysia dan mereka telah berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat setempat khususnya pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Kesannya, masyarakat kembali cenderung kepada Islam. Satu perubahan drastik yang dibuat tidak lebih daripada usaha 20 tahun lamanya. Satu perubahan yang terinspirasi dan diinsipirasikan daripada pemuda kepada pemuda. Dan seterusnya daripada pemuda, kepada masyarakat.
Bangkit Dari Lamunan
Dr. Amr Khaled menceritakan dalam bukunya "Buku Pintar Akhlak" sebuah kisah yang amat menarik buat renungan kita bersama.
Pada suatu hari, ketika aku mahu menunaikan solat berjemaah di Masjid, seorang tua menghampiriku dalam keadaan menangis teresak-esak.
Aku merasa pelik lalu bertanya.
" Kenapa Pak Cik menangis?"
Jawapan yang diberikan itu membuatkan jiwa muda saya tersentuh. Jawapan itu adalah ibrah of the year saya.
"Pak Cik menangis kerana melihat anak muda seperti kamu datang ke masjid pada setiap waktu.. Alangkah baiknya jika hati pak cik tertarik pada Masjid, seusia kamu dahulu... Ruginya masa muda pak cik kelmarin... "
"Apa yang mahu pak cik jawab di hadapan Allah swt nanti !" Ujarnya lagi.
Justeru, sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt sekalian... Ayuh kita bangkit, bangkit dari kealpaan lalu menuju kejayaan yang gemilang. Gunakan setiap peluang dan ruang pada usia muda ini untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya..
Lihat sahajalah Imam Al Ghazali, bagaimana dia memaksimumkan potensi dirninya untuk ilmu, sehingga dia tidak sempat untuk berkahwin.. Lalu, lihat pula, Imam Hassan Al Banna, bagaimana pemikiran mudanya mampu untuk merevolusi pemikiran umat.
Mereka semua tidak perlu menunggu usia tua untuk membentuk keajaiban. Mereka juga tidak perlu umur yang panjang untuk meninggalkan kesan ke dalam sejarah peradaban manusia. Kedua-dua contoh di atas, meninggal dunia, seawal usia 40 an. Usia di mana, kehidupan seorang lelaki itu bermula menurut istilah barat. Tetapi kita orang islam, mari memulakan diri sebagai seorang lelaki pada usia ini.. " MEN's life start at 20′s.. atau lebih muda daripada itu". InsyaAllah
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi "
(Surah al-Baqarah ayat 30)
Semoga kitalah khalifah itu ! Semoga kitalah pemimpin itu ! Dan semoga kitalah si pembebas Al Aqsa itu!
Teringat pada satu kata-kata daripada Syeikh Raed Solah yang menghuraikan satu hadis jika yang menerangkan bahawa akan tiba satu zaman , yang menjadi pembebas al Aqsa adalah seorang pemuda yang tidak mempunyai jambang seperti orang Arab ! Tetapi jambangnya nipis dan sedikit persis orang Melayu di Malaysia ataupun Indonesia!
Allahu Allah... Moga-moga kita lah itu!