Sunday, November 11, 2012

Cipta Alasan Tinggalkan Tarbiyah

alt
Untuk mendapatkan nikmat tarbiyah bukan mudah. Begitu juga untuk sentiasa istiqomah dalam tarbiyah. "Pelbagai persoalan minda perlu dijawab. Tanyakan diri bersedia ke arah kebaikan atau katakan pada diri tunggu dulu.
"Saya masih muda. Usia remaja perlu dipenuhi dengan keseronokkan."
"Puaskan dulu dengan hiburan dan pergaulan. Bila dah puas, saya berubahlah."
Itu antara ayat lazim yang menjadi hujah para remaja bila diajak beramar makruf nahi mungkar. Mengatakan dirinya masih muda. Masih terlalu awal untuk menjadi baik. Ada juga yang mengatakan nanti lepas berkahwin saya akan berubah.
Tapi, persoalannya sampai bila memberi hujah sedemikian. Adakah kita yakin lepas ini, esok dan lusa kita masih hidup? Adakah kita tahu bila kita akan mati? Bukankah kematian itu paling hampir dengan diri kita dan semua makhluk yang bernyawa di muka bumi ini?
 Allah SWT berhak ke atas diri kita. Maka, Dia berhak berbuat apa saja ke atas diri kita tanpa berunding dan memberitahu kita. Ini termaksudlah hal kematian.
Kematian kita! Ya.. Kematian kita bila-bila saja menjemput.
Allah SWT akan menguji kita. Hidup dan mati kita itu adalah ujian daripada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Quran yang bermaksud;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,"
(Surah al-Mulk ayat 2)
Ujian tersebut hanyalah untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah SWT. Adakah kita ini benar-benar beriman atau seorang yang pendusta.
Benarlah kata Allah SWT yang bermaksud;
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut ayat 2-3)
Keimanan kita bukan sekadar kata-kata. Namun, perlukan pembuktian melalui ujian-ujian Allah SWT. Di situ, kita akan dilihat sejauhmana cara kita memaknai ujian-ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Namun realitinya sekarang, kita selalu mengatakan kita berhak ke atas diri kita. Namun, kita tidak sedar bahawa kita hanya perancang kehidupan. Merancang apa saja yang kita mahukan sedangkan yang merealisasikan semua rancangan kita adalah Allah SWT.

Kita lupa bahawa Allah SWT berhak ke atas diri kita. Sebab itu, kita yakin berani mengatur kehidupan kita. kita semakin tidak memerlukan Allah SWT. Kita tidak takutkan Allah SWT. Kita tidak menghiraukan siksa-Nya dan kemurkaan-Nya.
Dengan itu, kita seolah-olah tidak memerlukan tarbiyah islamiyah.
Meninggalkan Tarbiyah
Meninggalkan tarbiyah itu sangat mudah. Pelbagai alasan mampu direka dan digunapakai oleh kita untuk menjadi hujah meninggalkan tarbiyah diterima oleh yang mendengarnya. Kita bukan ustazlah/ustazahlah, bukan pula kita orang yang layak menyampaikan islam. Ramai lagi ahli-ahli agama di luar sana lagi layak. Diri saya tidak sucilah. Ahli maksiatlah. Susah nak berikhlaslah. Aku tidak bersedialah dan macam-macam lagi alasan yang direka-reka.
Kita merasakan tarbiyah islamiyah ini hanya sekadar membuang masa. Membazirkan usia remaja. Usia remaja perlu dimanfaatkan untuk keseronokan. Usia remaja hanya sekali. Maka itu, puaskan diri dengan hiburan hanya semata-mata terasa ingin bebas.
Apabila persepsi ini telah hinggap dan sebati dengan jiwa kita... maka, tidak hairanlah tarbiyah islamiyah kita selama ini akan terkorban dengan hidangan dunia yang penuh dengan tipu daya. Akhirnya, tarbiyah islamiyah tidak lagi mempunyai makna dalam kehidupan kita.
Pelik bukan!!
Untuk meninggalkan tarbiyah, ada saja alasan direka dan dicipta. Kemudian digunapakai sebagai senjata atau hujah untuk meninggalkan tarbiyah. Namun, kita tidak pula mampu mencipta usaha dan cara untuk mendapatkan tarbiyah dan terus istiqomah dalam tarbiyah?
Kalau adapun sangat sedikit untuk berbuat sedemikian. Itulah realiti masyarakat islam sekarang. Untuk mendapatkan kebaikan susah dibuatnya. Namun, untuk mendapatkan kemungkaran sanggup berkorban apa saja untuknya.
Astaghfirullah!
Jangan sampai penyakit ini menyelinap masuk ke dalam titik kelemahan kita.
Nauzubillah!
Oleh itu, Ayuh! muhasabah diri kita.
Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah islamiyah bertujuan untuk mengajak kita mengingati Allah SWT. Memahami dan mengamalkan syariatnya. Bukan itu saja, dalam tarbiyah juga kita akan digerakkan dan menyampaikan nilai-nilai islam kepada orang lain. Mengajak orang lain menyertai halaqah/usrah untuk mendapatkan tarbiyah secara berterusan. Bukankah mengajak orang lain itu kepada Allah SWT adalah sebaik-baik perkataan.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud;
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Surah Fussilat ayat 33)
Perlu diingatkan!
Beramar makruf nahi mungkar perlu dilakukan secara sepenuh masa (full time) bukannya separuh masa (part time). Dugaan dan cubaan itu perkara biasa dalam meniti jalan dakwah. Maka itu, kita kena sentiasa bersedia menempuh sebarang dugaan dan cubaan. Jika kita gagal, ini yang menyebabkan kita memilih untuk mengikuti tarbiyah dan mengamalkan islam secara part time.
Seterusnya, cipta alasan meninggalkan tarbiyah.
Tidakkah kita merasa rugi!
Kita juga, terasa berat dan terbeban dengan gerak kerja dakwah. Berputus asa dan mula beralasan. Akhirnya, kita mengatakan 'saya tidak layak lagi berbuat untuk islam. Saya tidak layak lagi bersama kalian'. Ana minta maaf akhi/anti.
Itulah pengakhirannya.
Kita tidak mahu itu!

Kita perlu sedari tarbiyah islamiyah perlu berterusan sehinggalah kita menemui ajal. Bukannya program pengajian dan pekerjaan secara part time. Tarbiyah islamiyah adalah modul, program pengajian dan pekerjaan yang perlu dilakukan secara full time. Ini kerana, kematian itu dirahsiakan oleh Allah SWT. Kita tidak tahu bila kita akan mati.
Justeru, kita perlu sentiasa bersedia dan mengamalkan dan memperjuangkan islam setiap masa. Pendek kata mengambil islam secara full time bukan part time. Supaya pengakhiran hidup kita nanti sedang khusyuk beribadah kepada Allah SWT. InsyaAllah.
Islam Full Time
Adakah kita tahu penghuni syurga semuanya orang-orang beriman yang mengamalkan syariat islam 100% ?  Setiap masa mereka memperjuangkan agama Allah SWT kerana mereka yakin "Dengan kita membantu agama Allah SWT, Dia akan membantu kita juga"
Allah SWT berfirman yang bermaksud;
"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 7)
Yakinilah kita adalah umat terbaik untuk manusia dan sekalian alam. Maka, jangan sia-siakan gelaran ini. Jadilah orang-orang yang memperjuangkan agama Allah SWT. Menjadi genarasi rabbani iaitu generasi yang mempelajari al-kitab dan mengajarkannya.
FirmanNya lagi
"Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.
(Surah ali-Imran ayat 79)
Dengan itu, Allah SWT memberikan dan menghadiahkan kita syurga.
Ingin masuk syurga?
Pastinya syurga itu menjadi idaman. Maka, apa yang perlu kalian lakukan? Meninggalkan tarbiyah atau sentiasa istiqamah berada di dalamnya?
Ayuh, jangan berlengah lagi! Mari kita aturkan langkah mengambil tarbiyah islamiyah sepenuhnya. Semoga kita tergolong bersama-sama mereka yang menyambung rantaian dakwah itu. InsyaAllah~

No comments:

Post a Comment