Tersebutlah kisah seorang lelaki yang mengembara di sebuah padang pasir yang terbentang luas. Perjalanan lelaki itu sangatlah jauh, sehingga dia tidak lagi dapat melihat tempatnya bermula, tidak dapat juga melihat destinasi akhirnya. Perjalanannya juga sangat mencabar dan mengalirkan peluh besar; dengan pohon-pohon kaktus raksasa yang menembak duri-durinya, biawak padang pasir yang mengejarnya, tanah jerlus yang amat merbahaya, juga panas terik yang membakar kulit dan muka. Semuanya itu menjadikan pengembaraan lelaki itu ibaratnya mustahil untuk dihabiskan.
Setiap kali lelaki itu melalui suatu kota, dia pasti akan ditanya tentang perjalanannya yang jelas mencabar, hatta untuk jantan tergagah di zaman itu. Setiap kali itu juga, dia hanya tersenyum sebagai jawapan dan tidak lupa untuk mengajak orang lain menyertainya. Tidak ramai yang mahu mengikutinya (walaupon ada) dan kebanyakan daripada mereka hanya menggeleng kepala sambil terkumat-kamit menyebut perkataan-perkataan 'gila', 'sewel', 'tiga suku' dan yang seangkatan dengannya.
Maka bersambunglah perjalanan lelaki itu setelah berhenti menyinggah beberapa hari di kota atau pekan yang tertentu. Setiap kali itu juga bilangan rombongannya akan bertambah. Ada yang mengikutinya tertarik dengan perwatakan lelaki itu. Ada yang bersetuju untuk menyertai pengembaraan itu dek yakin dengan destinasi yang dituju. Ada juga yang suka-suka, sengaja mahu mencuba nasib dan membuang masa.
Perjalanan yang cukup berliku dan sukar menyebabkan ramai juga yang meninggalkan rombongan pengembaraan itu. Lelaki itu tidak kisah, kerana dia sudah boleh mengagak apa yang bakal terjadi kepada rombongannya itu. Jika diikutkan hati, dia lebih selesa untuk mengembara sendiri. Namun dia tahu, suatu hari nanti, dia pasti akan memerlukan bantuan mereka juga.
Suatu hari, ketika sedang berhenti rehat di sebuah oasis, sekumpulan ahli rombongan datang mengerumuni lelaki itu yang sedang menikmati air sejuk oasis di bawah lindungan pohon palma padang pasir. Ewaahh kau. Eh. Pada mulanya, mereka hanya mahu berborak ringan dan santai sahaja. Namun, semuanya berubah apabila salah seorang daripada mereka mendesak lelaki itu untuk membongkarkan rahsia perjalanan mereka.
"Eh anda. Cuba anda beritahu saya. Kita ni, nak menuju ke mana sebenarnya hah..?? Penat tahu, berjalan begini tanpa arah tujuan! Berpeluh ketiak lagi..! Pfftttt!"
Lelaki itu hanya tersenyum. Kemudian, dia berkata,
"Siapa kata kita tiada tujuan..? Destinasi kita pasti, cuma ia masih jauh lagi."
Ahli-ahli rombongan lain semakin berminat dengan perbincangan itu. Semakin ramai pula yang mengerumuni mereka.
"Dah tu, cuba beritahu kami semua. Kita ni, menuju ke mana..??"
Lelaki itu memandang jauh ke hadapan ke suatu arah, termenung panjang. Kemudian dia bersuara lagi,
"Anda semua nampak di depan tu..? Di tempat matahari terbenam..? Ya, di situlah destinasi kita yang abadi. Pasti."
"Walaweh. Hang biaq btoiii..?? Eh tetibe keluar loghat Kedah. Ehem. Uisshh jauhh kott tu! Macam mustahil je..! Belum lagi kira singa padang pasir yang bila-bila masa boleh menyerang, ribut padang-pasir yang kejam dan entah apa-apa lagi cabaran di depan yang bakal mendatang!"
Dan lelaki itu hanya tersenyum mendengar omelan dan keluhan ahli-ahli rombongannya. Tidak berpuas hati, seorang ahli rombongan yang lain pula bertanya,
"Baiklah, kami percaya dengan anda. Masalahnya, kami pula nak tahu... Apa yang menyebabkan anda begitu yakin dengan pengembaraan ini...??"
Lelaki itu tertawa kecil. Dia memandang kesemua ahli-ahli rombongannya dengan penuh rasa kasihan dan sayang. Matanya bersinar cemerlang. Dia berkata,
"Sudah ramai yang melalui jalan ini. Orang-orang dahulu telah lama mendahului kita. Dan mereka sudah pon sampai ke destinasi yang dituju. Ya, destinasi yang sama yang sedang kita tujui. Dan sekarang mereka semua sedang menanti ketibaan kita dengan penuh kegembira dan keterujaan. Ya, penuh gembira dan teruja."
Lelaki itu bangun dengan penuh bergaya, lantas meneruskan perjalanannya ke arah matahari yang hampir terbenam.
Epik.
No comments:
Post a Comment